UMNO CAWANGAN TAMAN EHSAN

UMNO CAWANGAN TAMAN EHSAN

Monday 4 April 2011






SEJARAH PENUBUHAN  UMNO




PADA 11 Mei, 62 tahun lalu, UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan atas kesedaran memastikan nasionalisme atau ketuanan Melayu dan Islam terus dipertahankan di bumi Melayu ini. Ancaman penubuhan Malayan Union oleh British yang bakal menyaksikan orang Melayu kehilangan hak dan kuasa di tanah air sendiri telah mengumpulkan kekuatan yang membawa kepada pembentukan parti yang menjadi pembela nasib Melayu. Walaupun ditubuhkan di Istana Besar Johor Bahru namun usaha untuk mewujudkan UMNO tidak mudah. Ia tidak lahir di atas dulang emas. Tetapi hasil daripada perjuangan untuk memastikan hak dan ketuanan Melayu tidak tercabar dan sultan serta raja-raja Melayu kekal di takhta mereka. Hasrat Inggeris untuk menubuhkan Malayan Union telah membawa kepada perhimpunan besar-besaran Kongres Melayu Se-Malaya pertama. Inisiatif itu telah dimulakan oleh Persatuan Melayu Selangor dan berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada 1 Mac 1946.

Dari situ, satu jawatankuasa dianggotai Datuk Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dibentuk bagi menyediakan draf piagam atau Perlembagaan UMNO. Pada 11 Mei 1946 di Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga yang berlangsung di Istana Besar Johor Bahru, UMNO ditubuhkan. Ketika itu juga Inggeris terus mengasak dengan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 yang memberi hak sama rata atas prinsip 'jus soli' kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada presiden. Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO,



Malayan Union dibubarkan pada Julai 1946 dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Dari situ perjuangan diteruskan hingga membawa kepada kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada September 1965. Tetapi apa yang penting ialah perjuangan UMNO berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu di tanah air mereka dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja. Namun selepas 64 tahun ia ditubuhkan dan setelah 57tahun negara merdeka, segala susah payah dan pahit getir perjuangan menegakkan hak bangsa oleh UMNO seolah-olah dipandang sepi. Perjuangan UMNO yang menjadi tonggak kepada penubuhan Perikatan hasil gabungan MCA dan MIC dan Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang memberi kemakmuran kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum kian dilupakan.






MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA


Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.



Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan. 



Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.


Allahyarham Mohamed Hamzah, pencipta bendera Malaysia yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang. Bendera Malaysia dicipta pada 1947.